KUALA LUMPUR 1 April - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau telah dimaklumkan terdapat beberapa ketika di mana Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat bersikap tidak profesional dalam membuat keputusan.

MUSTAPA MOHAMED
Katanya, sementara kerajaan mempertimbangkan permohonan bantuan kewangan untuk Proton, syarikat kereta nasional itu perlu mengetengahkan barisan kepemimpinan baharu yang cekap di dalam syarikat.
Menurutnya, meskipun kerajaan mengiktiraf umbangan Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang tempoh beliau berkhidmat selaku Pengerusi Proton, kerajaan tidak boleh menghiraukan masalah yang dihadapi serta ketidakupayaan syarikat itu untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dalam mengorak langkah ke hadapan.
Ini kerana, katanya, kerajaan beranggapan bahawa model perniagaan Proton ketika ini tidak mampu bertahan lama.“Kami berharap Pengerusi serta Pengurusan Kanan Proton yang baharu dapat membantu usaha merealisasikan potensi yang ada ke arah masa depan yang lebih cerah buat syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Semalam, Proton mengumumkan peletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Pengerusinya, berkuat kuasa serta-merta. Beliau telah memegang jawatan Penasihat Proton sejak tahun 2003 selepas bersara sebagai Perdana Menteri keempat dan dilantik sebagai Pengerusi syarikat bermula 16 Mei 2014.Mustapa berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada Proton dalam bentuk geran dan pelbagai bentuk bantuan lain serta cukai yang tidak dikutip berjumlah RM13.9 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1983.
Katanya, Proton menghadapi masalah apabila aset syarikat tidak diguna pakai sepenuhnya dan menganggap Proton yang memiliki dua pusat pengeluaran beroperasi pada kadar 30 peratus daripada tahap optimum.“Keputusan membuka dua pusat pengeluaran mungkin merupakan satu kesilapan lampau oleh syarikat. Tiga tahun lalu, Proton hampir menjalinkan kerjasama dengan syarikat automotif asing terkemuka, namun menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kerjasama ini berjalan lancar, Proton mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik.“Kerajaan ketika ini dalam proses menilai permohonan Proton bagi mendapatkan bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman mudah. Permohonan ini perlu diperhalusi kerana ia melibatkan sejumlah besar wang rakyat. Kerajaan harus berbelanja lebih cermat di saat pendapatan negara semakin berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dan barangan komoditi.
“Namun saya ingin memberi jaminan kepada para pekerja, vendor dan ekosistem Proton bahawa kepentingan mereka akan diambil kira sebelum kerajaan mengambil keputusan tentang permohonan syarikat tersebut,” katanya.Kata beliau lagi, tahun lalu beberapa vendor Proton telah mengadakan perjumpaannya bagi berkongsi masalah yang hadapi oleh mereka dan kementerian mengambil langkah serta-merta dengan memperuntukkan sejumlah RM100 juta sebagai pinjaman mudah untuk meringankan beban mereka.