
Ahmad Zahid Hamidi
WASHINGTON 31 Mac - Kerajaan akan meneliti tujuh cadangan mengenai keperluan pembangunan teknologi serta pembinaan aset untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan persempadan negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi, kesemua cadangan yang dikemukakan oleh pihak swasta itu telah diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kos untuk membangunkan aset-aset berkenaan sekurang-kurangnya RM1 bilion dan angka itu hanya untuk mengawal sempadan di sebelah utara Semenanjung.
“Seandainya ada keperluan menggunakan kombinasi kedua-dua aset berkenaan, bagaimana pula bentuk pembiayaan yang perlu dilakukan oleh kerajaan memandangkan cadangan-cadangan itu melibatkan kos pembiayaan yang cukup tinggi.
“Kos berkenaan boleh dikaji oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan mengenai sama ada mekanisme pembayaran dibuat secara tertangguh, kerjasama swasta dan awam atau kaedah-kaedah lain,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang mengadakan lawatan kerja ke sini sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Alejandro Mayorkas.
Menurut Ahmad Zahid, dalam pertemuan berkenaan, isu operasi agensi keselamatan sempadan negara merupakan antara yang dibincangkan.– UTUSAN