Skandal 1MDB telah membuka mata rakyat negara Malaysia bertapa lemahnya sistem Demokrasi,sistem perundangan serta penguatkuasaan undang-undang negara.Dimana semua kelemahan sistem ini telah dimanipulasi sepenuhnya oleh Najib untuk mengaut dan memindahkan sebanyak mungkin wang dan harta negara kemudian digantikan dalam bentuk hutang dan Bon yang terpaksa ditanggung dan dibayar oleh kerajaan dan negara.
Ini menunjukkan bertapa lemahnya penguatkuasaan undang-undang negara ini terhadap penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa kerana mereka yang berkuasa secara mutlaknya lebih tinggi dari undang -undang yang dikuatkuasakan .Apabila berlakunya kesilapan memilih pemimpin tidak ada apa lagi yang boleh dibuat untuk menyingkirkan pemimpin seperti Najib kerana dia telah memegang kuasa mutlak keatas negara.
Sudah tiba masanya semua undang -undang,perlembagaan serta sistem demokrasi negara dirombak sepenuhnya supaya membolehkan pemimpin yang korup dan bermasaalah seperti Najib disingkirkan oleh Institusi Diraja serta rakyat untuk mengelakkan negara dari terus dijahanamkan oleh pemimpin yang tamak haloba,korup dan bermasalah sehingga tiada apa lagi yang boleh diselamatkan kerana telah dimusnahkan oleh pengkhianat seperti ini.
PENIPUAN DALAM 1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD
1. Akhirnya penipuan yang dilapor oleh media cetak dan elektronik di seluruh dunia diakui benar oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
2. Arul mengaku akan kegagalan 1MDB membayar US 1 billion (RM 3.9 billion) kepada IPIC (International Petroleum Investment Company – Abu Dhabi), syarikat yang menjamin hutang 1MDB.
3. Mengikut IPIC syarikat bernama Aabar PJS Ltd (British Virgin Islands) yang menerima bayaran dari 1MDB bukanlah miliknya walaupun IPIC mempunyai sebuah syarikat dengan nama yang hampir sama, iaitu Aabar PJS Ltd.
4. Jika 1MDB membayar USD 1 billion kepada syarikat palsu, ada kemungkinan syarikat berkenaan ditubuh dengan pengetahuan 1MDB sendiri dan duit itu akhirnya dimasuk dalam akaun persendirian. Sangkaan seperti ini memang dibuat oleh ramai orang, dan kenyataan Arul bahawa ada penipuan besar berlaku dalam 1MDB hanya mengesahkan sangkaan.
5. Arul akan cuba membetulkan yang salah tetapi benang basah sukar ditegak selepas pengakuan olehnya. Adalah lebih baik Arul cerita semua, berkenaan juruaudit dibuang, 1 billion US dilabur dalam JV 1MDB/Petro Saudi, tanpa kelulusan pengarahnya, tanpa pemeriksaan due diligence, dan kemudian dibubar tetapi modal tidak dikembali kepada 1MDB, sebaliknya diberi pinjam kepada Petro Saudi, duit yang pergi ke Cayman Islands yang tidak balik ke Malaysia tetapi ke Singapura yang menjelma jadi unit, yang dilihat oleh Arul tetapi tidak dilihat olehnya, peranan bank BIS dan lain-lain milik Jho Low perjalanan wang 1MDB ke Hong Kong, Switzerland, London, Amerika, British Virgin Islands, Seychelles, Abu Dhabi, penyalahgunaan duit KWAP, duit SRC mengalir ke dalam akaun Najib, konsesi minyak di Argentina dan Turkmenistan yang menjadi aset dan kemudian tidak menjadi aset dan beribu lagi cerita yang melibatkan wang 1MDB, dijelas, dinafi, diakui dan hilang tidak disebut lagi.
6. Sesungguhnya negara Malaysia tidak pernah melihat skandal yang sebegitu besar seperti skandal 1MDB. Rakyat yang sukar memahami berapa besarkah satu juta, sekarang mencuba menggambar banyak manakah satu billion, dan empat puluh dua billion. Bagaimanakah wang berbillion boleh kesana kesini sehingga akhirnya berada dalam akaun peribadi Najib. Rakyat menjadi bingung dengan cerita-cerita wang begitu banyak yang merata ke semua pelusuk dunia.
7. Dicerita pula pembiayaan pengeluaran filem lucah dengan ratusan juta Ringgit yang dibuat oleh anak tiri Najib, Waah! Banyaknya duit. Dari mana datangnya. Mudah. Duit Keluarga. Rupa-rupanya multi-milionaire Melayu sudah lama ada.
8. Dan banyak lagi pengakuan yang boleh dibuat oleh Arul, oleh pengerusi jawatankuasa penasihat, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara dan jangan lupa Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang begitu berani bertindak sendiri meminjam dan melabur berbillion Ringgit dan USD bagi pihak 1MDB tanpa kebenaran, tanpa kelulusan badan pengarah dan orang atasan. Waah! Confident sungguh Shahrol. Apakah dianya juga yang terlibat dengan bayaran kepada Aabar PJS Ltd (Virgin Islands).
1MDB hormati sepenuhnya kuasa dan keputusan BNM
1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan ia menghormati sepenuhnya kuasa dan keputusan Bank Negara Malaysia yang mengesahkan penamatan siasatan ke atas IMDB dan pengenaan kompaun pentadbiran kerana kegagalan mematuhi arahan tertentu.
"1MDB menghormati sepenuhnya kuasa dan keputusan BNM dalam perkara ini. Pembayaran kompaun itu akan dibuat pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan," kata syarikat milik kerajaan itu dalam satu kenyataan semalam.Terdahulu, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011, kata BNM dalam satu kenyataan.
Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh BNM untuk memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidakupayaan untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
- Bernama
Akhirnya bencana kewangan negara yang selama ini dinafi dan dipertahan habis-habisan oleh Najib terbukti bahawa sememangnya wujud penipuan dan salahgunakuasa didalam pentadbiran syarikat dan negara.Sememangnya sangat pelik dan luarbiasa jika Najib tidak ada sebarang kaitan dengan bencana ini mengapa dia perlu bermati-matian menafikan segala penyelewengan serta penipuan ini.
Mungkin ada hantu raya yang mempunyai kuasa luar biasa sehingga mampu menutup segala penipuan dan menyekat segala usaha untuk menyiasat penyelewengan berpuluh billion wang negara yang boleh membiayai 1/5 dari perbelanjaan negara untuk setahun.Masih adakah kepercayaan yang boleh diberi kepada Najib.Jika dia memerintah untuk beberapa tahun lagi berapa puluh billion lagi akan lesap .
Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri .
- Tan Sri Muhyiddin Yassin
1. Saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara. Saya juga telah menasihati Dato’ Seri Najib supaya beliau tidak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana ia tidak wajar. Saya menyatakan agak luar biasa sebuah syarikat mempunyai Lembaga Penasihat.
2. Saya juga pernah menzahirkan kebimbangan saya mengenai masalah aliran tunai syarikat yang amat teruk sehinggakan tidak mampu membayar hutang. Juga mengenai pelaburan yang mencurigakan tanpa dibuat due diligence sebelum perjanjian dimaterai.
3. Saya juga mempersoalkan pelan rasionalisasi 1MDB yang belum tentu dapat ditunaikan. Malah penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin boleh menyelesaikan hutang-piutangnya yang bukan semakin berkurang tetapi meningkat kepada RM50 bilion. Saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan.
4. Laporan PAC mengesahkan segala pandangan dan kebimbangan saya mengenai 1MDB. Najib nampaknya bersedia menerima laporan PAC, tetapi malangnya dia telah menghukum saya apabila saya menyuarakan hal yang sama di dalam kabinet. Hari ini penyokong-penyokong Najib mencanang bahawa nama Najib telah dibersihkan oleh PAC dan meminta rakyat terus bergerak ke hadapan dengan melupakan episod hitam penyelewengan 1MDB. Mana mungkin? Berapa kali dalam laporan PAC disebut Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu Najib.
5. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB tidak membebaskan Najib daripada dakwaan penyelewangan. Sebaliknya laporan PAC mendedahkan mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Najib terbabit secara langsung membuat keputusan-keputusan penting berkaitan komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan. Justeru, tidak hairanlah sepertimana yang dilaporkan oleh PAC, pihak pengurusan 1MDB banyak membelakangkan arahan Lembaga Pengarah syarikat dalam melaksanakan usahasama dan pelaburan kerana kuasa tersebut terletak di tangan Perdana Menteri.

6. Antaranya ialah keputusan Lembaga Pengarah meluluskan pemindahan sebanyak USD1 billion ke dalam akaun bank syarikat usahasama 1MDB Petrosaudi Ltd. Pihak pengurusan hanya memindahkan sebanyak USD300 juta ke dalam akaun bank 1MDB Petrosaudi Ltd, manakala baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib.
7. Sepertimana yang dilapor dalam hansard prosiding PAC, mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah USD1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri. Saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima arahan daripada Perdana Menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal. Antaranya ialah keputusan untuk melabur sejumlah USD2.318 bilion dalam Segregated Portfolio Company (SPC) melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC, iaitu sebuah syarikat yang baru sebulan ditubuhkan, tiada lesen sebagai pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar. Begitu juga dengan dana berjumlah USD3 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan TRX tetapi telah dipindahkan kepada 1MDB sebanyak USD 1 bilion, kepada 1MDB Energy Ltd sebanyak USD 28.85 juta, kepada Brazen Sky Ltd sebanyak USD 1.5 juta dan pelaburan di luar negara sebanyak USD1.58 billion.
8. Penyelewengan dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang. Malah 1MDB terpaksa meminjam wang untuk membayar hutang yang telah meningkat secara mendadak daripada RM5 bilion pada tahun 2009 kepada RM50 bilion pada tahun 2016. 1MDB memerlukan RM3 bilion setahun untuk membayar faedah ke atas hutang sahaja. Dengan kebanyakan aset 1MDB telah dijual dan pelaburan yang mencurigakan, berkemungkinan besar kerajaan terpaksa menanggung segala hutang syarikat. Saya amat bimbang beban onar 1MDB akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

9. Antara skop laporan PAC ialah untuk menentukan samada wang hasil pelaburan 1MDB di Cayman Islands berjumlah USD2.318 bilion sudah dibawa balik ke Malaysia. Malangnya, PAC gagal menyatakan perkara ini dengan jelas. Tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang USD700 juta dan USD330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low; USD3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited; USD940 juta dalam bentuk 'unit' yang dikatakan disimpan dalam Bank BSI di Singapura; dan USD1.56 bilion yang dilabur dalam 1MDB Global Investments Ltd. Kesemuanya berjumlah USD7 billion (RM28 billion).
10. Terbaharu, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan syarikat tersebut atau unitnya Aabar Investment PJS telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI sepertimana yang dilapor kepada PAC. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB. Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini? Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu.

11. Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu. Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng. Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?
12. PAC telah memperakukan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral, disiasat oleh pihak berkuasa. Saya menggesa supaya pihak berkuasa segera membuat siasatan dan Datuk Shahrol mestilah menyatakan perkara yang sebenar. Siasatan mengenai aliran keluar wang 1MDB yang masih belum terjawab juga perlu diteruskan.
13. Tanpa memperkecilkan laporan PAC, penyiasatan yang dijalankan ke atas 1MDB tidak konklusif. T maklumat-maklumat penting berkaitan pelaburan luar negara yang tidak dapat ditentukan kesahihannya. Apa lagi ia telah menyebabkan kerugian bernilai berbilion ringgit kepada IMDB seperti usahasama dengan Petrosaudi. Sebenarnya Najib bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan 1MDB. Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat, dia tidak boleh mencuci tangan dengan meletakkan semua kesalahan ke atas Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan syarikat.
14. Gesaan saya selama ini supaya Najib meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ternyata berasas. Mana pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi sebuah syarikat awam. Hal ini telah diakui oleh PAC dalam laporannya yang membuat perakuan supaya Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 M&A syarikat dimansuhkan.
15. Namun, pemansuhan Lembaga Penasihat 1MDB sahaja tidak memadai. Najib ialah orang yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang RM20 bilion. Jangan pula nanti ada tindakan bail out oleh kerajaan.
17. Penyelewengan 1MDB amat jelas. Jika Najib seorang yang bermaruah, dia sepatutnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.